Penduduk Telaga Batu Minta Baiki Segera Hakisan Di Tandaop Telaga Batu
Oleh: WADIASSOFI JAAFAR
JITRA, 16 Disember: Penduduk Kampung Tandop Telaga Batu, Sungai Korok, di sini meminta pihak yang bertanggungjawab segera membaiki dan menurap jalan di kampung itu yang runtuh akibat hakisan.
Tinjauan mendapati jalan yang runtuh itu membahayakan pengguna yang sering melalui jalan berkenaan, terutamanya pada waktu malam.
Seorang penduduk, Hanafiah Lebai Man, 75, berkata, masalah yang berlaku itu perlu diatasi segera oleh pihak yang bertanggungjawab demi untuk memastikan tiada berlaku kejadian yang tidak diingini.
"Sebahagian daripada jalan berkenaan didapati runtuh akibat hakisan dan tiada tindakan diambil untuk mengatasi masalah yang berlaku itu," jelasnya.
Ujarnya, pernah berlaku kemalangan membabitkan penunggang motosikal yang melalui jalan berkenaan kerana kawasan itu agak gelap pada waktu malam.
Beliau berharap pihak yang bertanggungjawab perlu membuka mata dalam usaha menangani masalah yang berlaku itu agar ia dapat diatasi sepenuhnya bagi keselesaan dan keselamatan penduduk.
Seorang lagi penduduk, Mohamad Mahyudin Yusop, 35, berkata, masalah tanah runtuh di jalan berkenaan sudah lama berlaku.
"Tindakan segera perlu dilakukan agar masalah tanah runtuh di jalan berkenaan dapat diperbaiki semula untuk kemudahan penduduk di sini," katanya.
Tambahnya, setelah diperbaiki, jalan berkenaan perlu diturap agar memudahkan penduduk kampung menggunakan jalan berkenaan setiap hari.
Sumber:Warta Darulaman
No comments:
Post a Comment