Oleh: SITI ZALEHA ABDUL RAHIM
ALOR STAR – Belia adalah pemangkin negeri. Jika hendak melihat bagaimana rupa bentuk sesebuah negeri pada masa hadapan, kita boleh lihat bagaimana keadaan belia sekarang, sempurnanya belia tersebut, maka sempurnalah negeri itu dan begitulah sebaliknya.
Semasa Sidang Dewan Negeri yang diadakan baru-baru ini, Ahli Mesyuarat Kerajaan selaku Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kesenian dan Warisan, Kebudayaan, YB Dr Haji Hamdan Mohamed Khalib menegur sikap belia negeri ini terutama para siswazah supaya mengubah sikap mereka dalam mencari pekerjaan bagi mengelak berlakunya pengangguran.
Para siswazah ini hanya berfikir mahu mendapat kerja yang bersesuaian dengan kelulusan, tetapi mereka tidak menyedari dalam era ini, cabaran sangatlah sengit, pengalaman adalah penting berbanding sijil yang dimiliki. Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan yang diajukan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bakar Bata, YB Dato' Paduka Ahmad Bashah Md Hanipah.
YB Dato' Paduka Ahmad Bashah menanyakan mengenai isu pengangguran di kalangan belia di bandar-bandar utama, khususnya Bandar Alor Star yang semakin membimbangkan dan apakah Kerajaan Negeri berhasrat untuk menyediakan program khusus terutama melatih golongan ini dalam bidang kemahiran tenaga kerja mahir di masa hadapan.
"Kerajaan Negeri akan mengadakan karnival kerjaya pada tahun 2009 yang melibatkan jabatan-jabatan kerajaan, agar mereka memberi peluang kerja kepada belia-belia mendaftar dalam mencari kerja.
"Kerajaan Negeri menyediakan pelbagai program dan latihan kemahiran kepada belia-belia seperti IKM dan MARA, para belia juga boleh memperoleh pekerjaan menerusi Bursa Buruh Elektronik (ELX).
"Apa yang saya kesalkan ialah sikap siswazah itu sendiri yang terlalu memilih dalam mencari pekerjaan, jadi yang penting siswazah itu perlu mengubah sikap kepada yang lebih positif serta cari seberapa banyak pengalaman yang dapat membantu mereka," jelas beliau.
No comments:
Post a Comment