Peta Telaga Batu

Monday, December 22, 2008

Belia jangan terlalu cerewet memilih kerja

Oleh: SITI ZALEHA ABDUL RAHIM

ALOR STAR – Belia adalah pemangkin negeri. Jika hendak melihat bagaimana rupa bentuk sesebuah negeri pada masa hadapan, kita boleh lihat bagaimana keadaan belia sekarang, sempurnanya belia tersebut, maka sempurnalah negeri itu dan begitulah sebaliknya.
Semasa Sidang Dewan Negeri yang diadakan baru-baru ini, Ahli Mesyuarat Kerajaan selaku Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kesenian dan Warisan, Kebudayaan, YB Dr Haji Hamdan Mohamed Khalib menegur sikap belia negeri ini terutama para siswazah supaya mengubah sikap mereka dalam mencari pekerjaan bagi mengelak berlakunya pengangguran.
Para siswazah ini hanya berfikir mahu mendapat kerja yang bersesuaian dengan kelulusan, tetapi mereka tidak menyedari dalam era ini, cabaran sangatlah sengit, pengalaman adalah penting berbanding sijil yang dimiliki. Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan yang diajukan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bakar Bata, YB Dato' Paduka Ahmad Bashah Md Hanipah.

YB Dato' Paduka Ahmad Bashah menanyakan mengenai isu pengangguran di kalangan belia di bandar-bandar utama, khususnya Bandar Alor Star yang semakin membimbangkan dan apakah Kerajaan Negeri berhasrat untuk menyediakan program khusus terutama melatih golongan ini dalam bidang kemahiran tenaga kerja mahir di masa hadapan.

"Kerajaan Negeri akan mengadakan karnival kerjaya pada tahun 2009 yang melibatkan jabatan-jabatan kerajaan, agar mereka memberi peluang kerja kepada belia-belia mendaftar dalam mencari kerja.

"Kerajaan Negeri menyediakan pelbagai program dan latihan kemahiran kepada belia-belia seperti IKM dan MARA, para belia juga boleh memperoleh pekerjaan menerusi Bursa Buruh Elektronik (ELX).

"Apa yang saya kesalkan ialah sikap siswazah itu sendiri yang terlalu memilih dalam mencari pekerjaan, jadi yang penting siswazah itu perlu mengubah sikap kepada yang lebih positif serta cari seberapa banyak pengalaman yang dapat membantu mereka," jelas beliau.

Saturday, December 20, 2008

Penduduk Telaga Batu Resah??

Penduduk Telaga Batu Minta Baiki Segera Hakisan Di Tandaop Telaga Batu

Oleh: WADIASSOFI JAAFAR

JITRA, 16 Disember: Penduduk Kampung Tandop Telaga Batu, Sungai Korok, di sini meminta pihak yang bertanggungjawab segera membaiki dan menurap jalan di kampung itu yang runtuh akibat hakisan.

Tinjauan mendapati jalan yang runtuh itu membahayakan pengguna yang sering melalui jalan berkenaan, terutamanya pada waktu malam.
Seorang penduduk, Hanafiah Lebai Man, 75, berkata, masalah yang berlaku itu perlu diatasi segera oleh pihak yang bertanggungjawab demi untuk memastikan tiada berlaku kejadian yang tidak diingini.

"Sebahagian daripada jalan berkenaan didapati runtuh akibat hakisan dan tiada tindakan diambil untuk mengatasi masalah yang berlaku itu," jelasnya.
Ujarnya, pernah berlaku kemalangan membabitkan penunggang motosikal yang melalui jalan berkenaan kerana kawasan itu agak gelap pada waktu malam.
Beliau berharap pihak yang bertanggungjawab perlu membuka mata dalam usaha menangani masalah yang berlaku itu agar ia dapat diatasi sepenuhnya bagi keselesaan dan keselamatan penduduk.

Seorang lagi penduduk, Mohamad Mahyudin Yusop, 35, berkata, masalah tanah runtuh di jalan berkenaan sudah lama berlaku.
"Tindakan segera perlu dilakukan agar masalah tanah runtuh di jalan berkenaan dapat diperbaiki semula untuk kemudahan penduduk di sini," katanya.
Tambahnya, setelah diperbaiki, jalan berkenaan perlu diturap agar memudahkan penduduk kampung menggunakan jalan berkenaan setiap hari.
Sumber:Warta Darulaman

Thursday, December 11, 2008

Kampung Telaga Batu Kehijauan

Pada masa kini kampung ini kelihatan tenang dengan suasana kehijauan daripada kehijauan yang terbit daripada sawah padi yang sedang menghijau.

Suasana kehijauan ini sangat mendamaikan sesiapa sahaja yang melihatnya.

Sumbangan Basikal PAS Ayer Hitam

Kerajaan pakatan Rakyat telah menyampaikan 134 buah basikal kepada anak-anak yatim dan miskin melibatkan DUN Kota Seputih dan Ayer Hitam. Sumbangan tersebut telah disampaikan oleh Exco Kerajaan Negeri Kedah, Dato' Hj. Mohamed Taulan bin Mat Rasul. Beliau juga dijemput memberi ucapan dan mengucapkan terima kasih kepada PKWR DUN Ayer Hitam yang menganjurkan majlis tersebut. Dengan sumbangan tersebut dapat meringankan beban yang ditanggung oleh Waris/ ibu bapa. Turut memberi ucapan Pengarah MTD DUN Kota Seputih Tuan Haji Ismail Wan Teh.

Wednesday, December 3, 2008

Takziah Kepada Keluarga Allahyarham Pak Cha

Pada pagi 2 Disember 2008, seorang aktivis Parti Islam Semalaysia (PAS) telah kembali ke rahmatullah. Beliau adalah merupakan Penolong Ketua Cawangan PAS Telaga Batu. Allahyarham merupakan seorang yang berdedikasi dalam menjalankan tanggungjawab sebagai penolong ketua cawangan dan juga merupakan ahli jawatankuasa PAS Dun Ayer Hitam.

Al-Fatihah.

Wednesday, November 19, 2008

Salam Perkenalan

Assalamualaikum.. terlebih dahulu saya ucapkan ribuan terima kasih kepada pihak yang berkenaan kerana dapat memberikan maklumat berkaitan dengan kampung telaga batu ini. Kampung Telaga Batu merupakan sebuah kampung yang majoriti penduduknya berbangsa Melayu dan beragama Islam. Kebanyakkan penduduk di kampung ini bekerja sebagai petani dan kampung ini di kelilingi dengan sawah yang menghijau.
Kampung Telaga Batu terletak lebih kurang 9 KM dari Pekan Jitra. Kampung ini terletak di dalam daerah Kubang Pasu dan di bawah pentadbiran Ketua Kampung yang baru di lantik iaitu Tuan Haji Othman. Kampung ini terletak di dalam Dun Ayer Hitam dan Parlimen Jerlun. Dun Ayer Hitam merupakan Dun di dalam kawasan Parti Islam Se-Malaysia(PAS) yang di wakili oleh YB Ustaz Abdul Ghani Ahmad.